Tuesday 16 December 2014

"WAJARKAH KERAJAAN DIBELASAH KERANA MEMBETULKAN CARA MEREKA BERSEDEKAH"

 Subsidi  Ron 95 dan Diesel akan ditarik balik 20 Sen????

Ingin rasa berkongsi...

Dari petang tadi whatapp masuk bertalu-talu bertanyakan kepada saya adakah benar subsidi Ron 95 dan Diesel akan ditarik balik 20 Sen tengah   malam ini. Ya benar, memang subsidi ditarik balik 20 sen dan harga Ron 95 dan Diesel akan naik 20 sen. Walaupun berat hati ini hendak menjawab, suka tidak suka kita terpaksa menjelas duduk sebenar perkara ini.

Pelbagai jawapan kita boleh berikan untuk menghalalkan kenaikan ini, namun perasaan amarah rakyat tidak mungkin akan menerima berita kenaikan bahan api ini dengan fikiran yang rasional, walaupun mereka sedar sistem pengagihan subsidi bahan api kita memang tidak rasional.

Mana datang rasionalnya jika si miskin dengan si kaya menikmati nilai subsidi yang sama iaitu 47 sen seliter untuk Ron 95, sedangkan penggunaan si kaya berlipat kali ganda lebih besar dari si miskin.
Mana datang rasionalnya jika warga kita terpaksa berkongsi kadar yang sama dengan warga asing, sedangkan kitalah yang terpaksa membayar cukai bukannya mereka. Sejauh mana arahan penguasa agar mereka hanya menggunakan minyak tanpa subsidi kita, Ron 97 dipatuhi. Paling cuma, sekadar di stesyen minyak bersempadan dengan negara asal mereka.

Suka tidak suka kita kena terima hakikat bahawa subsidi bahan api tidak boleh diagih secara pukal lagi. Kek kekayaan ekonomi negara harus diagihkan mengikut 'Fiqh Alaulawiyaat' iaitu mengikut urutan keutamaan. Mereka yang susah harus diberi keutamaan berbanding dengan mereka yang senang.

Hari ini, jika subsidi pukal untuk Ron 95 berkadar 47 sen, pemilik kancil hanya akan menerima RM11.19 jika tangki penuh mereka muat diisi dengan Ron95 sebanyak RM50. Manakala rakyat golongan sederhana menikmati subsidi sebanyak RM33.57 jika mereka mengisi tangki penuh Perdana V6 mereka sebanyak RM150.  Ya, 3 kali ganda lebih tinggi. Ini belum lagi jika seseorang itu menggunakan BMW, Mercedese, Land Crusier dan kereta mewah lain. Lagi besar kenderaan mereka, lagi banyaklah duit rakyat yang terpaksa digunakan untuk subsidi mereka yang lebih berada. 

Dimana letaknya keadilan untuk mereka yang hanya mampu membeli motosikal atau yang langsung tak mampu membeli sebarang kenderaan.

Salahkah jika kerajaan mula sedar sekarang bahawa selama hari ini mereka bersedekah lebih kepada si kaya berbanding dengan si miskin dan sudah tiba masanya kesilapan silam ini diperbetulkan secara berperingkat?
Setiap tahun kita dicemuh kerana gagal mengemukakan bajet berimbang atau dengan bahasa rakyatnya, bajet yang memaparkan unjuran pendapatan melebihi unjuran perbelanjaan.  Setiap kali belanjawan defisit dibentangkan di Parlimen, kerajaan dikecam sebagai tidak cekap dan tidak berhemah dalam berbelanja.

Pernahkah ada sesiapa perasaan bahawa kegagalan kita mengemukakan bajet berimbang ini boleh kita akhiri bila-bila masa dengan berhenti bersedekah berlebih-lebihan?  Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa setiap tahun kerajaan akan bersedekah hampir 20% daripada pendapatan negara dalam bentuk subsidi.

Jika penarikan subsidi sebanyak 20 sen malam ini tidak dilakukan, untuk tahun ini sahaja, kita menjangkakan sebanyak 22.34 Billion ringgit terpaksa kerajaan belanjakan untuk subsidi Ron95 dan diesel. Dan itu hanya sebahagian daripada lebih kurang 40 billion ringgit yang kerajaan peruntukkan bagi keseluruhan subsidi 2014.
Saya akan bantah jika subsidi RM6 bagi setiap kampit 10kg beras ST Super Tempatan 15 ditarik balik.  Kerana subsidi ini dinikmati oleh rakyat biasa.  Si kaya sudah pasti akan menggunakan Basmathi atau Beras Wangi Siam, bukan ST15.  Kita juga boleh membantah jika subsidi tepong, subsidi minyak masak serta subsidi gas masak ditarik balik.  Namun dimana kewajarannya, jika kita membantah kerajaan menarik balik subsidi yang dinikmati LEBIH! oleh golongan yang berada berbandingan golongan miskin?

Memang senang untuk kita lemparkan cemuhan serta makian terhadap PM kita bila subsidi bahan api ini ditarik balik.  Namun bila kita berjaya menjimatkan 4 billion ringgit tahun ini melalui penarikan subsidi Ron95 dan Diesel tahun lepas, penerima BRIM yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM4,000 juga yang merasa nikmatnya bila bantuan BRIM mereka dinaikkan dari RM500 ke RM650.

Begitu juga bila PM mengumumkan subsidi gula ditarik 34 sen tahun lepas, rata-rata yang memaki beliau sebenarnya menggunakan gula tidak sampaipun 2kg sebulan.  Yang rakyat tak sedar, sebenarnya kita berhenti bersedekah pada kilang biskut, kilang buat jem, kilang buat kordial serta kilang-kilang minuman berkarbonat yang menggunakan beribu kilogram gula sehari.  Sungguhpun PM dimaki, namun akhirnya bila kerajaan dapat menjimatkan 480 juta ringgit melalui penarikan subsidi gula tersebut, yang dapat nikmatnya rakyat yang berpendapatan rendah melalui pembinaan 70 biji Klinik Rakyat 1 Malaysia.

Sahabat....bukan semua benda yang kita nampak dengan mata kasar kita tidak baik dilakukan oleh kerajaan, maka ianya tidak baik untuk kita.   Dan bukan semua benda yang kita lihat dengan mata kasar kita itu baik, sebenarnya belum tentu ianya baik untuk kita.

Coretan Ringkas  : LOKMAN ADAM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...