SHAH ALAM
- Kejayaan PAS menambah penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor
daripada 8 kepada 15 pada Pilihan Raya Umum ke-13 semalam, membuktikan
peningkatan pengaruh mereka di negeri itu berbanding dua sekutunya.
Perkembangan
itu juga membuka peluang kepada PAS untuk mengetuai kerajaan negeri Selangor
yang pada penggal lalu diteraju PKR. Berbanding PAS, PKR kali ini hanya
menambah satu kerusi kepada 14, sementara DAP pula menang 15 berbanding 13
kerusi pada 2008.
Bekas
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata pakatan DAP-PKR-PAS di Selangor harus memberi peluang kepada PAS meneraju kerajaan negeri itu kali
ini.
"PKR
dah ada peluang lima tahun lepas, bagilah peluang kepada PAS. PKR kena berjiwa
besar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Hasan
yang pernah menjadi Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan
Kemudahan Awam negeri Selangor sebelum dipecat daripada PAS pada Januari 2012,
turut menggesa pakatan itu berpegang kepada semangat setiakawan.
Beliau
merujuk kepada desas-desus jawatan menteri besar itu diintai oleh Timbalan
Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Hasan
turut menyenaraikan nama-nama anggota dewan undangan negeri (Adun) PAS yang
layak mengisi jawatan itu, antaranya Adun Sabak, Sallehen Mukhyi; Adun Paya
Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang
juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan.
Sallehen,
46, ialah pendakwah bebas dan juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor
manakala Mohd Khairuddin, 42, merupakan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor,
dan Dr Ahmad Yunus, 48, ialah Yang Dipertua PAS Kuala Langat.
Abdul
Khalid pada sidang akhbar di sini hari ini memberitahu calon Menteri Besar
Selangor akan ditentukan oleh pucuk pimpinan pakatan dalam masa seminggu ini.
"Soal
pentingnya bakal calon MB (menteri besar) mesti diterima dan diperkenan Sultan
Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment